Isnin, 7 September 2009

Unesco perakui Malaysia capai taraf pendidikan untuk semua.


PERTUBUHAN Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco) memperakui bidang pendidikan di Malaysia melepasi taraf 'pendidikan untuk semua' meliputi enam teras utama ditetapkan.

Teras berkenaan ialah memperluaskan prasekolah, menyediakan pendidikan sempurna untuk sekolah kebangsaan (SK) dan promosi pembudayaan pendidikan dan kemahiran hidup.

Seterusnya meningkatkan tahap literasi golongan dewasa ke paras 50 peratus, menyamaratakan jantina menjelang 2015 dan memajukan kualiti pendidikan. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata semua syarat itu sudah dicapai, sekali gus membuktikan pendidikan di Malaysia setaraf dengan negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat. Jika sebelum ini pendidikan SK menumpukan pembelajaran mulai Tahun Satu hingga Enam, katanya, ia kini diperluaskan ke peringkat prasekolah.

Beliau berkata, begitu juga penguasaan bidang literasi komputer kerana ia tidak lagi tertumpu di kawasan bandar atau sekolah sekitar pekan, sebaliknya diperluaskan hingga ke pedalaman. "Ada yang tiada bekalan elektrik seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan, Tuaran dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalabakan, Tawau di Sabah.

“Bagaimanapun, mereka menikmati kemudahan elektrik hibrid bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijalankan.

"Kementerian juga sudah memulakan dasar pendidikan wajib kepada semua kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dengan sendirinya golongan itu tidak tercicir dalam pelajaran, terutama di kalangan keluarga miskin dan orang kurang upaya," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Memperkasakan Sekolah Kebangsaan peringkat Semporna, Lahad Datu, Tawau, Kinababatangan dan Kunak, di Semporna, baru-baru ini. Kira-kira 200 pegawai jabatan pelajaran dan guru besar dari lima daerah terbabit menghadiri program berkenaan. Hadir sama, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh dan Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran, Jame Alip.

Dalam pada itu, Alimuddin menegur sikap segelintir guru besar SK yang melarang ibu bapa memasuki kawasan sekolah untuk bersemuka dengan guru sehingga menyebabkan mereka tidak memberi kerjasama terhadap program dijalankan pihak sekolah. "Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru boleh membantu meningkatkan pencapaian sekolah seperti di sekolah jenis kebangsaan. "Saya sendiri pernah menerima surat layang daripada ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan sikap guru besar terbabit dan ini perlu dielak demi kebaikan bersama terutama memastikan kejayaan murid ," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan