Selasa, 6 Oktober 2009

Kepentingan industri penterjemahan

MAMPUKAH kita memanfaatkan penguasaan bahasa Inggeris untuk memartabatkan bahasa Melayu? Kedengaran pelik, bukan? Namun, hal ini secara tidak langsung diketengahkan oleh pensyarah Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Abdullah Hassan melalui kertas kerjanya, Membina Industri Buku Terjemahan.

Katanya, penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa pribumi banyak dilakukan di negara maju seperti Jepun, Taiwan dan Korea.

Taiwan sebagai contoh, industri terjemahan di negara yang saiznya hampir sama dengan negara kita itu telah berkembang maju, sekali gus membangunkan ilmu dalam bahasa Cina. Industri perbukuan di Taiwan sahaja menerbitkan 38,000 judul setahun an 8,000 daripadanya adalah terjemahan. Ternyata dasar ‘menggunakan bahasa pribumi sebagai bahasa pendidikan’ dapat memandaikan rakyatnya, dan betapa rakyat yang berilmu tersebut menuntut supaya ilmu dibawa masuk ke dalam bahasanya.

“Sebaliknya yang berlaku di Filipina. Negara itu membuat dasar yang menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris. Oleh sebab dasarnya demikian, maka diwujudkan pula dasar-dasar lain yang mengetepikan bahasa Taglog. Selain itu, lebih besar lagi bencananya apabila industri ilmu tidak diwujudkan dalam bahasa pribumi dan hanya golongan elit yang mendapat ilmu. Akhirnya, negara tidak dapat dimajukan dan inilah yang berlaku pada negara-negara bekas jajahan Inggeris di Afrika seperti Kenya, Uganda, Tanzania, Nigeria dan Ghana.

“Pada saya, kita perlu ada rasa ‘sombong bahasa’ kerana maruah dan jati diri kita di situ,” kata Abdullah.

Mungkin sesetengah kita tidak begitu gusar kerana memikirkan bahasa Melayu masih dituturkan oleh lebih 300 juta penutur, dan keempat teramai penuturnya di dunia. Tapi, kita kini berbicara tengang bahasa Melayu Malaysia bukannya bahasa Melayu Indonesia yang mewakili 270 juta daripadanya.

Kata-kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam teks ucapan penangguhan Kembara Bahasa 2005, baru-baru ini juga harus kita renungkan.

“Globalisasi boleh menyebabkan kepupusan sesuatu bahasa. Dikatakan daripada sekitara 6,000 bahasa yang dipertuturkan hanya 300 yang dituturkan oleh lebih sejuta orang dan selebihnya, iaiti 5,700 bahasa, dituturkan oleh kurang dari sejuta orang.

“Dijangkakan, separuh daripada 5,700 bahasa ini akan pupus dalam tempoh seabad lagi kerana tidak dipertuturkan dan tidak diajar kepada golongan muda.” Adakah bahasa Melayu akan menerima nasib seperti itu? Jawapannya ada di hati kita semua.


Rabu, 16 September 2009

ANTARA 9 SITI YANG DAPAT DICONTOHI


1) Siti Khadijah

- Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yg melahirkan anak2 Rasulullah, setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh org2 kafir dan musyrik, menghantarkan makanan kpd Baginda ketika Baginda beribadat di Gua Hira'.

2) Siti Fatimah

- Anak Rasulullah yg tinggi budi pekertinya. Sangat kasih dan setia kpd suaminya Ali karamallahu wajhah walaupun Ali miskin. Tidur berkongsikan 1 bantal dan kdg2 berbantalkan lengan Ali. Rasulullah pernah b'kata aku takkan maafkan kamu wahai Fatimah sehinggalah Ali maafkan kamu.

3) Siti Aisyah

- Beliau isteri Rasulullah yg paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dgn Rasulullah. Di mana Nabi s.a.w minum di situ beliau akan minum menggunakan bekas yg sama.

4) Siti Hajar

- Isteri Nabi Ibrahim yg patuh kpd suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang mencari air utk anaknya Nabi Ismail (Pengorbanan seorg ibu mithali).

5) Siti Mariam

- Wanita suci yg mmg pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yg tinggi sehingga rahimnya dipilih oh Allah s.w.t utk mengandungkan Nabi Isa.

6) Siti Asiah

- Isteri Firaun yg tinggi imannya dan tidak gentar dgn ujian yg dihadapinya drpd Firaun Laknatullah.

7) Siti Aminah

- Wanita mulia yg menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.

8) Siti Muti'ah

- Isteri yg patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kpd suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat utk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dgn cantik utk tatapan suaminya sahaja.

9 ) Siti Zubaidah

- Wanita kaya dermawan yg menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya utk membina terusan utk kegunaan org ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.

* 9 Siti ini adalah petikan drpd kata2 Ustazah Siti Norbahiah Mahmud dlm rancangan Halaqah TV9 bertajuk 'SITI IMPIAN'. Adakah kita tergolong antara Siti2 ini? Tepuk dada tanya iman. Sama2 kita tingkatkan ilmu kita utk menjadi insan yg lebih baik di Bumi Allah ini, insyaAllah


KUKUHKAN BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN.

Apabila Prof. Dr. Awang Sariyan menyatakan beberapa sebab yang menyebabkan kemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercalar dan tergugat, memang tidak dapat dinafikan kebenaran yang disampaikan olehnya. Tetapi adakah ramai pihak yang menyedari hakikat permasalahan ini atau mereka tidak mengambil endah? Gambaran-gambaran senario yang dihadapi oleh bahasa Melayu seperti yang dinyatakan oleh Dr. Awang seperti, ``Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib,'' merupakan satu gambaran ringkas tentang kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.

Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Namun begitu sistem pendidikan yang ada pada hari ini seperti menidakkan kemampuan bahasa Melayu dalam mengembangkan ilmu. Hinggakan ada di kalangan para pelajar yang hanya mempelajari bahasa Melayu atas dasar keperluan peperiksaan sahaja.
Syarat
Ini terutamanya apabila bahasa Melayu menjadi syarat untuk para pelajar memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Tetapi bagaimana pula dengan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)? Adakah bahasa Melayu menjadi satu tiket syarat utama untuk pelajar melayakkan diri mereka masuk ke IPTS?Penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan haruslah dimulakan pada peringkat awal prasekolahan lagi, jangan sesekali membenarkan pihak sekolah mengecilkan ruang masa untuk pelajar mempelajari bahasa Melayu.
Bahkan pada peringkat sekolah menengah pula pelajar harus ditekankan lagi peri pentingnya bahasa Melayu untuk pelajar melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Jangan sewenang-wenangnya mengatakan cukup sekadar mendapat kepujian dalam bahasa Melayu untuk melayakkan pelajar lulus dalam peperiksaan yang diduduki tetapi semai dan tanam perasaan cinta kepada bahasa Melayu agar mereka tidak merasa malu untuk terus bertutur dan menggunakan bahasa Melayu.

Hakikatnya kini terdapat segelintir pelajar lepasan sekolah yang merasa malu untuk bertutur dan menggunakan bahasa Melayu kerana sikap mereka yang terlalu mengagungkan bahasa asing.Bahkan dalam satu keadaan terdapat pelajar yang secara terus terang mengatakan tidak faham sekiranya pengajaran di dalam kelas disampaikan dalam bahasa Melayu walaupun zaman persekolahan mereka bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar.
Adalah mustahil untuk menerima hakikat pelajar yang baru meninggalkan zaman persekolahan dalam masa tidak sampai satu tahun sudah melupakan bahasa Melayu.

Isnin, 7 September 2009

Unesco perakui Malaysia capai taraf pendidikan untuk semua.


PERTUBUHAN Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco) memperakui bidang pendidikan di Malaysia melepasi taraf 'pendidikan untuk semua' meliputi enam teras utama ditetapkan.

Teras berkenaan ialah memperluaskan prasekolah, menyediakan pendidikan sempurna untuk sekolah kebangsaan (SK) dan promosi pembudayaan pendidikan dan kemahiran hidup.

Seterusnya meningkatkan tahap literasi golongan dewasa ke paras 50 peratus, menyamaratakan jantina menjelang 2015 dan memajukan kualiti pendidikan. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata semua syarat itu sudah dicapai, sekali gus membuktikan pendidikan di Malaysia setaraf dengan negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat. Jika sebelum ini pendidikan SK menumpukan pembelajaran mulai Tahun Satu hingga Enam, katanya, ia kini diperluaskan ke peringkat prasekolah.

Beliau berkata, begitu juga penguasaan bidang literasi komputer kerana ia tidak lagi tertumpu di kawasan bandar atau sekolah sekitar pekan, sebaliknya diperluaskan hingga ke pedalaman. "Ada yang tiada bekalan elektrik seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan, Tuaran dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalabakan, Tawau di Sabah.

“Bagaimanapun, mereka menikmati kemudahan elektrik hibrid bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijalankan.

"Kementerian juga sudah memulakan dasar pendidikan wajib kepada semua kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dengan sendirinya golongan itu tidak tercicir dalam pelajaran, terutama di kalangan keluarga miskin dan orang kurang upaya," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Memperkasakan Sekolah Kebangsaan peringkat Semporna, Lahad Datu, Tawau, Kinababatangan dan Kunak, di Semporna, baru-baru ini. Kira-kira 200 pegawai jabatan pelajaran dan guru besar dari lima daerah terbabit menghadiri program berkenaan. Hadir sama, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh dan Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran, Jame Alip.

Dalam pada itu, Alimuddin menegur sikap segelintir guru besar SK yang melarang ibu bapa memasuki kawasan sekolah untuk bersemuka dengan guru sehingga menyebabkan mereka tidak memberi kerjasama terhadap program dijalankan pihak sekolah. "Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru boleh membantu meningkatkan pencapaian sekolah seperti di sekolah jenis kebangsaan. "Saya sendiri pernah menerima surat layang daripada ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan sikap guru besar terbabit dan ini perlu dielak demi kebaikan bersama terutama memastikan kejayaan murid ," katanya.


Kursus di IPG bentu pendidik di sekolah rendah gengam ijazah.

KEMENTERIAN Pelajaran akan melancarkan dua program khas bagi meningkatkan tahap kelulusan akademik, sekali gus mencapai hasrat 50 peratus guru sekolah rendah terdiri daripada kalangan siswazah pada 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata program khas berkenaan ialah Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) dan Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB).
Bagi PGSR, beliau berkata, program itu akan dikendalikan di institut pendidikan guru (IPG) seluruh negara mulai tahun ini hingga 2012 dengan membabitkan tempoh pengajian selama empat tahun.

“Ambilan pertama tahun ini bermula pada 17 November depan hingga 31 Disember 2012 di IPG. Program ini akan diadakan sewaktu cuti sekolah, manakala unjuran pengambilan pula ialah 3,000 guru setiap tahun.

“Bidang yang ditawar membabitkan pelbagai mata pelajaran. Selepas tamat pengajian, peserta program akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian (Pendidikan Rendah).
“Iklan program ini akan disiarkan melalui akhbar tempatan dan permohonan juga dibuka secara dalam talian. Siaran iklan PGSR ialah pada 15 Julai, manakala tarikh tutup permohonan dijangkakan 29 Julai depan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Seterusnya, Alimuddin berkata, PKPGB dikhususkan kepada mereka yang memegang jawatan guru besar atau pegawai Kementerian Pelajaran pernah menjadi guru besar serta menyandang gred DGA34 dan DGA32, serta berumur tidak melebihi 48 tahun.

Beliau berkata, program selama tiga tahun itu dilaksanakan secara mod intensif di mana dalam setahun, empat sesi kuliah akan diadakan secara intensif merangkumi 148 hari.

Sambil menjelaskan setiap pertemuan terbabit adalah selama empat minggu atau maksimum 37 hari, katanya, peserta akan diberi tugasan ketika bertugas di sekolah.
Beliau berkata, unjuran pengambilan PKPGB tahun ini ialah 400 peserta dan selepas tamat pengajian, mereka akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan).

“Saya menyarankan kepada semua guru yang berkenaan supaya mengambil peluang memohon program pensiswazahan ditawarkan kementerian ini.

“Ini kerana mod intensif yang digunakan mengambil kira pengalaman mereka dalam perkhidmatan sebagai pertukaran kredit ketika pengajian.

“Selain itu, peserta akan mendapat gaji penuh sepanjang pengajian, manakala pengalaman dan tempoh masa perkhidmatan diambil kira dalam mempertimbang kelayakan memohon program ini,” katanya.