Rabu, 16 September 2009

ANTARA 9 SITI YANG DAPAT DICONTOHI


1) Siti Khadijah

- Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yg melahirkan anak2 Rasulullah, setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh org2 kafir dan musyrik, menghantarkan makanan kpd Baginda ketika Baginda beribadat di Gua Hira'.

2) Siti Fatimah

- Anak Rasulullah yg tinggi budi pekertinya. Sangat kasih dan setia kpd suaminya Ali karamallahu wajhah walaupun Ali miskin. Tidur berkongsikan 1 bantal dan kdg2 berbantalkan lengan Ali. Rasulullah pernah b'kata aku takkan maafkan kamu wahai Fatimah sehinggalah Ali maafkan kamu.

3) Siti Aisyah

- Beliau isteri Rasulullah yg paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dgn Rasulullah. Di mana Nabi s.a.w minum di situ beliau akan minum menggunakan bekas yg sama.

4) Siti Hajar

- Isteri Nabi Ibrahim yg patuh kpd suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang mencari air utk anaknya Nabi Ismail (Pengorbanan seorg ibu mithali).

5) Siti Mariam

- Wanita suci yg mmg pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yg tinggi sehingga rahimnya dipilih oh Allah s.w.t utk mengandungkan Nabi Isa.

6) Siti Asiah

- Isteri Firaun yg tinggi imannya dan tidak gentar dgn ujian yg dihadapinya drpd Firaun Laknatullah.

7) Siti Aminah

- Wanita mulia yg menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.

8) Siti Muti'ah

- Isteri yg patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kpd suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat utk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dgn cantik utk tatapan suaminya sahaja.

9 ) Siti Zubaidah

- Wanita kaya dermawan yg menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya utk membina terusan utk kegunaan org ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.

* 9 Siti ini adalah petikan drpd kata2 Ustazah Siti Norbahiah Mahmud dlm rancangan Halaqah TV9 bertajuk 'SITI IMPIAN'. Adakah kita tergolong antara Siti2 ini? Tepuk dada tanya iman. Sama2 kita tingkatkan ilmu kita utk menjadi insan yg lebih baik di Bumi Allah ini, insyaAllah


KUKUHKAN BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN.

Apabila Prof. Dr. Awang Sariyan menyatakan beberapa sebab yang menyebabkan kemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercalar dan tergugat, memang tidak dapat dinafikan kebenaran yang disampaikan olehnya. Tetapi adakah ramai pihak yang menyedari hakikat permasalahan ini atau mereka tidak mengambil endah? Gambaran-gambaran senario yang dihadapi oleh bahasa Melayu seperti yang dinyatakan oleh Dr. Awang seperti, ``Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib,'' merupakan satu gambaran ringkas tentang kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.

Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Namun begitu sistem pendidikan yang ada pada hari ini seperti menidakkan kemampuan bahasa Melayu dalam mengembangkan ilmu. Hinggakan ada di kalangan para pelajar yang hanya mempelajari bahasa Melayu atas dasar keperluan peperiksaan sahaja.
Syarat
Ini terutamanya apabila bahasa Melayu menjadi syarat untuk para pelajar memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Tetapi bagaimana pula dengan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)? Adakah bahasa Melayu menjadi satu tiket syarat utama untuk pelajar melayakkan diri mereka masuk ke IPTS?Penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan haruslah dimulakan pada peringkat awal prasekolahan lagi, jangan sesekali membenarkan pihak sekolah mengecilkan ruang masa untuk pelajar mempelajari bahasa Melayu.
Bahkan pada peringkat sekolah menengah pula pelajar harus ditekankan lagi peri pentingnya bahasa Melayu untuk pelajar melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Jangan sewenang-wenangnya mengatakan cukup sekadar mendapat kepujian dalam bahasa Melayu untuk melayakkan pelajar lulus dalam peperiksaan yang diduduki tetapi semai dan tanam perasaan cinta kepada bahasa Melayu agar mereka tidak merasa malu untuk terus bertutur dan menggunakan bahasa Melayu.

Hakikatnya kini terdapat segelintir pelajar lepasan sekolah yang merasa malu untuk bertutur dan menggunakan bahasa Melayu kerana sikap mereka yang terlalu mengagungkan bahasa asing.Bahkan dalam satu keadaan terdapat pelajar yang secara terus terang mengatakan tidak faham sekiranya pengajaran di dalam kelas disampaikan dalam bahasa Melayu walaupun zaman persekolahan mereka bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar.
Adalah mustahil untuk menerima hakikat pelajar yang baru meninggalkan zaman persekolahan dalam masa tidak sampai satu tahun sudah melupakan bahasa Melayu.

Isnin, 7 September 2009

Unesco perakui Malaysia capai taraf pendidikan untuk semua.


PERTUBUHAN Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco) memperakui bidang pendidikan di Malaysia melepasi taraf 'pendidikan untuk semua' meliputi enam teras utama ditetapkan.

Teras berkenaan ialah memperluaskan prasekolah, menyediakan pendidikan sempurna untuk sekolah kebangsaan (SK) dan promosi pembudayaan pendidikan dan kemahiran hidup.

Seterusnya meningkatkan tahap literasi golongan dewasa ke paras 50 peratus, menyamaratakan jantina menjelang 2015 dan memajukan kualiti pendidikan. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata semua syarat itu sudah dicapai, sekali gus membuktikan pendidikan di Malaysia setaraf dengan negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat. Jika sebelum ini pendidikan SK menumpukan pembelajaran mulai Tahun Satu hingga Enam, katanya, ia kini diperluaskan ke peringkat prasekolah.

Beliau berkata, begitu juga penguasaan bidang literasi komputer kerana ia tidak lagi tertumpu di kawasan bandar atau sekolah sekitar pekan, sebaliknya diperluaskan hingga ke pedalaman. "Ada yang tiada bekalan elektrik seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan, Tuaran dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalabakan, Tawau di Sabah.

“Bagaimanapun, mereka menikmati kemudahan elektrik hibrid bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijalankan.

"Kementerian juga sudah memulakan dasar pendidikan wajib kepada semua kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dengan sendirinya golongan itu tidak tercicir dalam pelajaran, terutama di kalangan keluarga miskin dan orang kurang upaya," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Memperkasakan Sekolah Kebangsaan peringkat Semporna, Lahad Datu, Tawau, Kinababatangan dan Kunak, di Semporna, baru-baru ini. Kira-kira 200 pegawai jabatan pelajaran dan guru besar dari lima daerah terbabit menghadiri program berkenaan. Hadir sama, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh dan Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran, Jame Alip.

Dalam pada itu, Alimuddin menegur sikap segelintir guru besar SK yang melarang ibu bapa memasuki kawasan sekolah untuk bersemuka dengan guru sehingga menyebabkan mereka tidak memberi kerjasama terhadap program dijalankan pihak sekolah. "Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru boleh membantu meningkatkan pencapaian sekolah seperti di sekolah jenis kebangsaan. "Saya sendiri pernah menerima surat layang daripada ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan sikap guru besar terbabit dan ini perlu dielak demi kebaikan bersama terutama memastikan kejayaan murid ," katanya.


Kursus di IPG bentu pendidik di sekolah rendah gengam ijazah.

KEMENTERIAN Pelajaran akan melancarkan dua program khas bagi meningkatkan tahap kelulusan akademik, sekali gus mencapai hasrat 50 peratus guru sekolah rendah terdiri daripada kalangan siswazah pada 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata program khas berkenaan ialah Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) dan Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB).
Bagi PGSR, beliau berkata, program itu akan dikendalikan di institut pendidikan guru (IPG) seluruh negara mulai tahun ini hingga 2012 dengan membabitkan tempoh pengajian selama empat tahun.

“Ambilan pertama tahun ini bermula pada 17 November depan hingga 31 Disember 2012 di IPG. Program ini akan diadakan sewaktu cuti sekolah, manakala unjuran pengambilan pula ialah 3,000 guru setiap tahun.

“Bidang yang ditawar membabitkan pelbagai mata pelajaran. Selepas tamat pengajian, peserta program akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian (Pendidikan Rendah).
“Iklan program ini akan disiarkan melalui akhbar tempatan dan permohonan juga dibuka secara dalam talian. Siaran iklan PGSR ialah pada 15 Julai, manakala tarikh tutup permohonan dijangkakan 29 Julai depan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Seterusnya, Alimuddin berkata, PKPGB dikhususkan kepada mereka yang memegang jawatan guru besar atau pegawai Kementerian Pelajaran pernah menjadi guru besar serta menyandang gred DGA34 dan DGA32, serta berumur tidak melebihi 48 tahun.

Beliau berkata, program selama tiga tahun itu dilaksanakan secara mod intensif di mana dalam setahun, empat sesi kuliah akan diadakan secara intensif merangkumi 148 hari.

Sambil menjelaskan setiap pertemuan terbabit adalah selama empat minggu atau maksimum 37 hari, katanya, peserta akan diberi tugasan ketika bertugas di sekolah.
Beliau berkata, unjuran pengambilan PKPGB tahun ini ialah 400 peserta dan selepas tamat pengajian, mereka akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan).

“Saya menyarankan kepada semua guru yang berkenaan supaya mengambil peluang memohon program pensiswazahan ditawarkan kementerian ini.

“Ini kerana mod intensif yang digunakan mengambil kira pengalaman mereka dalam perkhidmatan sebagai pertukaran kredit ketika pengajian.

“Selain itu, peserta akan mendapat gaji penuh sepanjang pengajian, manakala pengalaman dan tempoh masa perkhidmatan diambil kira dalam mempertimbang kelayakan memohon program ini,” katanya.

Rabu, 2 September 2009

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

MERDEKA. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan 52 tahun kemerdekaan negara ini. Kini negara kita Malaysia telah menjadi sebuah negara maju di mata dunia. Namun disebalik 52 tahun mengecapi dan menikmati kemerdekaan, masih ada masyarakat di negara ini terutama generasi muda (tidak semua) yang masih belum memahami dan memenuhi erti kemerdekaan sebenar menurut Islam.

Ya. Apabila kita berbicara tentang erti kemerdekaan, mungkin setiap individu mempunyai pandangan berbeza dan kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun demikian, pengertian kemerdekaan sebenarnya adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara dari cengkaman kuasa asing.

Kemerdekaan menurut Islam ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.



Walaupun dikatakan negara telah mencapai 52 tahun merdeka, sehingga kini kita dapat melihat penjajahan minda masih berterusan dan dominan dalam pemikiran anak-anak muda. Tidak hairanlah kalau kita melihat anak-anak muda berpeluk, bercium ditempat-tempat terbuka dan khalayak ramai, berpesta dengan minuman keras dan bercampur antara lelaki dan perempuan, samseng jalanan dan sebagainya. Apakah ini dikatakan “kebebasan” atau “kemerdekaan” ? Kemerdekaan yang boleh merosakkan diri, agama, masyarakat dan negara. Tidak sayukah hati kita melihat kegilaan ini ? Yes. Negara Merdeka !! Tetapi anak-anak muda (bukan semua) HANCUR!!! Erti kemerdekaan bagi generasi muda kini sebenarnya sudah luntur dan lusuh di jiwa mereka serta tidak dihargai lagi. Ini terbukti apabila berlakunya kes-kes jenayah yang membabitkan golongan ini sepertimana disebut di atas. Apa yang mereka tahu pada 31 Ogos setiap tahun adalah cuti umum kemerdekaan.

Di zaman teknologi ini, penjajahan datang dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz walaupun sebelum ini mereka datang dengan kapal dan senjata. Sekarang mereka masuk menerusi wayar kuprum, fiber optik serta satelit dan dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, lebih mudah untuk mereka mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial kita.

Oleh itu marilah kita menghayati kemerdekaan yang sebenar menurut Islam sepertimana yang terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.Rub’ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.

Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?
Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah:
Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:
Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.
Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah SWT bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.
Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:

Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.
Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.
Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:
Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.
Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.
Justeru itu, kemerdekaan yang sebenar ialah membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia dan membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam. Wallahu ‘Alam…
KELEBIHAN SUJUD

MUNGKIN ramai di kalangan umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah yang tersembunyi ketika sujud. Pada hal, kita perlu sedar bahawa tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah s.w.t. yang sia-sia, malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia.

Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal seperti ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangannya. Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah s.w.t. dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama.

Antara hikmah lain sujud adalah melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Bernafas ketika sujud pula boleh:
- membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
- membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
- melegakan sakit hernia. (burut)
- mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
- melegakan paru-paru daripada ketegangan.
- mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.
- kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.
- meringankan bahagian pelvis.
- memberi dorongan supaya mudah tidur.
- menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.
- pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatic memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik.
- bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.
- mengurangkan kegemukan.
- pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke ! tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions).
- organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
- mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.

Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekali gus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya.

Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala danmigrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti seseorang.

Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.