Isnin, 24 Ogos 2009

Pesanan Lukmanul Hakim kepada anak-anaknya.


Suatu ketika, Lukmanul Hakim telah berpesan kepada anak-anaknya. Kata sahabat Nabi yang alim dan bijak berfalsafah itu..
1. Wahai anakku, ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam. Jika engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama takwa, isinya ialah iman dan layarnya adalah tawakal kepada Allah.
2. Wahai anakku, orang yang berasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat serta taat kepada Allah, maka dia itu orang yang tawaduk, lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat.
3. Wahai anakku, seandainya ibu bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahmya ibu-bapamu itu adalah bagaikan baja untuk tanam-tanaman.
4. Wahai anakku, ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya itu lebih mudah daripada mengajar orang yang tidak mahu diajar.
5. Wahai anakku, apabila engkau mempunyai dua pilihan, menziarahi orang mati atau hadir ke majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati kerana ia akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi semata-mata.
6. Wahai anakku, janganlah engkau menelan sahaja kerana manisnya sesuatu makanan dan janganlah memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu makanan itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit belu tentu menimbulkan kesengsaraan.
7. Wahai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bila mana engkau selalu mencari illmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya, kerana ia tidak ubah seperti orang yang mencari kayu bakar, tetapi setelah banyak, dia tidak mampu memukulnya, padahal dia masih mahu menambahkannya.
8. Wahai anakku, bila mana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bila mana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkanmu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Jika tidak demikian, maka berhati-hatilah.
9. Wahai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
10. Wahai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata-kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya, bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
11. Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membebankan orang lain. Sebaliknya, janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.

Ahad, 23 Ogos 2009

SAIDINA ALI KARRAMALLAHU WAJHAH BERKATA:

Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'
Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia
Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya
Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara'
Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi
Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki
Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan
Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara', sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati


Tidak ada kebaikan bagi pembicaraan kecuali dengan amalan.

Tidak ada kebaikan bagi harta kecuali dengan kedermawanan.

Tidak ada kebaikan bagi sahabat kecuali dengan kesetiaan.

Tidak ada kebaikan bagi shadaqah kecuali niyat yang ikhlas.

Tidak ada kebaikan bagi kehidupan kecuali kesehatan dan keamanan.(Al-Ahnaf bin Qais)

Rabu, 19 Ogos 2009

Sekolah diarah ambil suhu badan murid setiap pagi
Posted by pendidikmy On August - 7 - 2009
Sumber: Berita Harian 7 Ogos 2009


KUALA LUMPUR: Sekolah diarah mengambil suhu badan murid setiap pagi dan mengasingkan serta membawa mereka ke klinik jika didapati demam dengan suhu badan melebihi 38 darjah celsius.
Pada masa sama, sekolah diminta peka dan mengambil tindakan sewajarnya jika ada murid mengalami sebarang simptom jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) seperti batuk dan selesema.
Untuk tujuan itu, sekolah di seluruh negara sudah dibekalkan dengan termometer dan topeng muka membabitkan perbelanjaan RM2.5 juta.Bercakap kepada Berita Harian, semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pandemik H1N1 yang dipengerusikan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu lalu.
“Pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan kebersihan kawasan sekolah, termasuk tandas, bilik darjah, kantin dan asrama, selain terus menggesa pelajar untuk mengelak berada di kawasan tumpuan ramai,” katanya.
Bagaimanapun, Alimuddin berkata, kementerian belum mewajibkan penggunaan topeng muka kepada pelajar sekolah kerana penggunaannya sedikit sebanyak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Selain itu, beliau meminta ibu bapa tidak panik dengan keputusan kerajaan tidak menangguhkan lima peperiksaan utama di negara ini kerana kerajaan akan melaksanakan tindakan yang perlu sepanjang tempoh peperiksaan berkenaan.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kerajaan supaya tidak menutup sekolah yang dijangkiti H1N1 kerana bimbang ia akan menjejaskan sesi persekolahan pelajar terutamanya menjelang peperiksaan utama sebaliknya mahu langkah pencegahan di sekolah dipertingkatkan, selain mengkuarantin pelajar yang dijangkiti H1N1.
Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN) pula meminta ibu bapa memantau anak-anak yang terjejas sesi persekolahan mereka ekoran H1N1, supaya tidak mengabaikan pelajaran walaupun di rumah.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengajian Tinggi menyerahkan kepada pusat pengajian tinggi menggunakan kuasa autonomi melaksanakan tindakan mencegah penularan H1N1 di institusi masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya tidak akan mengeluarkan arahan membatalkan program membabitkan pelajar, termasuk aktiviti menjelang sambutan Hari Kemerdekaan akhir bulan ini.
“Jika pelajar sudah membuat perancangan awal dengan pelbagai aktiviti berkaitan hari berkenaan dan keadaan setempat selamat tanpa sebarang gangguan, tidak ada alasan program berkenaan terpaksa dibatalkan,” katanya selepas menyaksikan Pertukaran Dokumen Pengambilalihan Teknologi oleh Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) kepada Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.
Wajib lulus Bahasa Inggeris 2012
oleh HISHAM IDRIS


Kerajaan menimbang kemungkinan untuk mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat kelayakan untuk mendapatkan sijil menjelang tahun 2012.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pertimbangan itu adalah berdasarkan cadangan yang diterima daripada pelbagai pihak dan 85 peratus daripadanya bersetuju untuk melaksanakannya.
Bagaimanapun katanya, beberapa perkara penting perlu diperhalusi bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran subjek tersebut sebelum ia dilaksanakan.
“Kita tidak mahu terburu-buru dan kita kena pastikan tenaga pengajar mencukupi serta kualiti guru-guru terlibat meningkat.
“Tenaga pengajar luar dari United Kingdom dan Australia seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dipertimbangkan bagi tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar First Steps di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra anjuran FTM Bina Sdn. Bhd., dan Pearson Education bersama Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran di sini semalam.
Jelas Mohd. Puad, untuk melaksanakan perkara tersebut, bahagian kokurikulum dan pentafsiran telah diarah melakukan kajian terperinci.

Sabtu, 15 Ogos 2009